Friday, October 9, 2009

Rasuah

Kerja keras untuk tuan ,
Titisan peluh curah merata-rata ;
Tanda tangan surat perakuan ,
Diminta tunai dua juta.

Ke hutan cari kayu rasuk ,
Terjumpa seekor anak kera ;
Makan suap , tumbuk rusuk ,
Semua ini musuh negara .

Turun padang tangkap belalang ,
Belalang diberi kepada helang ;
Banyak projek banyak peluang ,
Sapu bersih sampai kenyang .

Dari bumi sampailah ke langit,
Membuat kerja yang buta ;
Makan suap sepuluh ringgit ,
Melarat sampai ke juta-juta .

Adik diberi roti sesuap ,
Dicalit pula sedikit kaya ;
Kalau tak makan suap ,
Bagaimana nak jadi kaya .

Satu dua tiga empat ,
Semua orang dibenar masuk ;
Kalau nak selesai cepat ,
Tentulah kena tumbuk rusuk .

Masak nasi dalam kawah ,
Makan sama buah petai ;
Dari atas sampai bawah ,
Ada peluang semua disantai .

Belajar berenang di kolam ,
Tekun berlatih sampai berjaya ;
Nampak duit mata kelam ;
Telan bulat-bulat macam buaya .

Bawa sama sebatang galah ,
Jolok mangga di tepi telaga ;
Kalau didapati ada salah ,
Lima ringgit pun mahu juga .

Kenderaan baru kereta tempatan ,
Kelisa , Kenari , Proton Saga ,
Apabila ekonomi menghadapi kesempitan ,
Yang haram pun dihalalkan juga .

No comments:

Post a Comment