Sunday, January 31, 2010

Agenda Buruk

Berpusu-pusu kelip-kelip dan api-api
Berterbangan di celah kartu
Penghasut yang bermain api
Mempunyai agenda yang tertentu

Tahi lembu dijadikan baja
Berisi di dalam guni
Orang yang membakar gereja
Cuba hendak mencemari harmoni

Hujan guruh diikuti petir
Menegelami seluruh Hutan Bidara
Hanya perbuatan pengganas segelintir
Ingin membinasakan perpaduan negara

Tiada rotan gunalah akar
Tiada madu gunalah gula
Setelah tiga gereja dibakar
Kemudian masjid dikenakan pula

Menebuk tiang dengan pahat
Mengetuk paku dengan tukul
Kerana perbuatan orang jahat
Akibatnya kita kena pikul

Memanjat pokok anak kera
Tekun memetik buah kelapa
Kalau negara menjadi huru-hara
Selain dosa mendapat apa

Anak padi menjadi semai
Ditanam dalam sawah pusaka
Pengkhianat tentu diketuk ramai
Orang berdosa masuk neraka

Gunung Ledang susah didaki
membawa bekal daun keladi
Orang jahat kena maki
Orang baik tetap berbudi

Kuih panggang kuih koci
Sedap dimakan perut kenyang
Buat jahat orang benci
Buat baik orang kenang

Berambut sanggul Mak Nyonya
Baju kabaya disemat kerongsang
Patuhilah petunjuk dan ajaranNya
Jangan sesekali mudah berangsang

No comments:

Post a Comment