Sunday, January 31, 2010

Keharmonian

Ikan tamban ikan gelama
Juadah biasa orang miskin
Memerintah dengan adil saksama
Rakyat tiada pilihan lain

Pagi petang malam siang
Cuaca cerah matahari terik
Suasana harmoni hati senang
Huru hara pelabur serik

Buah cempedak buah nangka
Hendak simpan di dalam laci
Kalau tak nak masuk neraka
Amalkanlah sifat mulia suci

Emas perak tembaga suasa
Dijunjung di dalam raga
Jangan lakukan sebarang dosa
Tentu ditempatkanNya dalam syurga

Susu lembu nama sapi
Orang hidup dikatakan mati
Buangkan yang buruk ke tepi
Semat yang mulia dalam hati

Ikan belaga dalam paya
Bersembunyi di bawah mengkuang
Memperkukuhkan warisan yang kaya
Yang baik jangan dibuang

Hang Tuah pahlawan berani
Mangharumkan nama negeri Melaka
Kehidupan aman dan harmoni
Keunikan Malaysia negara merdeka

Menimba air dari telaga
Gunakan timba buatan upih
Keharmonian rakyat perlu dijaga
Jangan guna kata-kata pedih

Sambal belacan dicampur cuka
Dicecah bendi dan petai
Elakkan hati orang berluka
Bertindaklah secara bijak pandai

Buat kuih gunakan pandan
Tumbuk sambal campurlah serai
Bercakap-cakap setakat padan
Goris hati sampai nak cerai

Timbang durian dengan kati
Ukura kain dengan jengkal
Hidup kita harus hormat-menghormati
Agar perpaduan tetap kekal

No comments:

Post a Comment