Tuesday, February 16, 2010

Sesat

Ikan puyu ikan sepat
Panggang bakar sedap dimakan
Sapu bersih kalau sempat
Sisik tulang pun ditelan

Si gadis Cik Syarifah
Ke angkasa naik roket
Melalui wang peruntukan daerah
Disalurkan ke dalam poket

Terjumpa bangkai dan mayat
Dalam medan perang berasap
Wang negara wang rakyat
Entah ke mana hilang lesap

Di kampung pakcik tinggal
Bersikap tulus bercakap kasar
Yang Berhormat berkhidmat sepenggal
Kereta mewah rumah besar

Pak tani bekerja keras
Menarah rumput dengan tajak
Memegang prinsip yang tegas
Bagaimana dipancing tak beranjak

Hidup sihat sejahtera walafiat
Kawali minuman dan makanan
Mula-mula berjuang untuk rakyat
Akhirnya sesat dalam perjalanan

Ikan haruan besar lengan
Menggoreng dengan tumisan bawang
Menggunakan nama projek rancangan
Mangambil kesempatan mencari wang

Saudagar meniagakan buah berangan
Membawanya dari negeri Siam
Membaling batu menyorokkan tangan
Membara perasaan secara diam-diam

Mengganas budak yang nakal
Memburu haiwan dangan panah
Sesat jalan balik ke pangkal
Silap bercakap habis termusnah

Pelancong menaiki kereta api
Singgah rehat di Batu Pahat
Hentikanlah sikap bermain api
Sebelum segala-galanya menjadi lambat

Si Petani mengawal semai
Orang-orang digunakan untuk teman
Kalau hendak hidup aman-damai
Jangan mempermainkan isu perkauman

Masak meranum buah rambutan
Tersangkut pada dahan tinggi
Sekiranya berlaku sebarang persengketaan
Semua kaum akan merugi

Buah duku buah langsat
Warna kuning kelihatan jerneh
Insafilah pemimpin yang sesat
Jangan membesar-besarkan perkara remeh

No comments:

Post a Comment